.::Pembuka Tirai::.

Sunday, November 16, 2008

QueenRania azam ubah persepsi negatif dUnIa Pd Islam


KEJELITAANNYA ditambah dengan susuk tinggi lampai umpama model membuatkan ramai melihat beliau sekadar Permaisuri jelita yang dikagumi kerana penampilan glamornya. Hakikatnya, Permaisuri Jordan Rania Al Abdullah bukan hanya ‘wajah yang cantik’, tetapi baginda mempunyai visi dan berwibawa, selain aktif dalam pelbagai pertubuhan sama ada di Jordan mahupun pada peringkat antarabangsa.Pembabitannya dalam kegiatan sebegitu lahir secara semula jadi terutama pengalamannya keluarga selepas Perang Teluk pada 1991. Seperti kebanyakan keluarga Palestin yang menetap di Kuwait, ayah Permaisuri Rania, seorang doktor terpaksa memindahkan keluarganya dari Kuwait ke Jordan kerana dianggap bersubahat dengan Iraq dan berbekalkan pengalaman pahit itu, baginda melihat dirinya boleh melakukan sesuatu bagi mengubah keadaan terutama dalam situasi konflik dan kini aktif membantu program pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).Menariknya, Permaisuri Rania mulai aktif dalam pelbagai kegiatan amal sebelum suami baginda, Raja Abdullah II Al-Hussein menaiki takhta pada 1999. Darah Arab yang mengalir dalam tubuhnya dan ditambah dengan keturunannya yang berasal dari keluarga Islam Palestin yang dihormati, Permaisuri Rania sering dibandingkan dengan isteri ketiga Raja Hussein, Permaisuri Alia, seorang wanita Palestin jelita yang berasal dari Tebing Barat. Malah, seperti Permaisuri Alia, Permaisuri Rania dikatakan amat disenangi rakyat Jordan kerana kesederhanaannya dan minat mendalamnya terhadap kebajikan wanita serta kanak-kanak miskin.


Sempena kunjungan singkatnya ke Malaysia baru-baru ini, baginda turut mengunjungi universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) dan sebagai tanda penghormatan terhadap pelbagai kerja amal baginda, UM mengadakan Konvokesyen Khas di Dewan Tunku Canselor bagi mengurniakan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada baginda. Majlis penganugerahan itu disempurnakan dengan penuh adat istiadat yang disempurnakan Canselornya, Sultan Azlan Shah.Pada majlis itu, baginda melahirkan iltizam untuk menjadi ‘jambatan’ yang dapat menghubungkan antara Barat dan masyarakat Islam. Malah, dalam beberapa temubual yang dijalankan sama ada dengan media di negaranya mahupun antarabangsa, baginda sering kali melahirkan kepentingan untuk merapatkan jurang antara masyarakat Barat dan Islam yang semakin luas terutama sejak tragedi 11 September 2001.Baginda berkata, salah tanggapan terhadap Islam menyebabkan masyarakat Islam sering dipandang serong, apatah pula dalam dunia hari ini yang penuh prasangka. Justeru, baginda berpendapat semua pihak perlu melakukan perubahan bagi menghentikan konflik yang melanda dunia hari ini yang dilihatnya berlaku berikutan sikap tidak ambil peduli serta keengganan untuk memahami punca kepada syak wasangka yang berlaku terutama selepas 2001.


“Kajian baru-baru ini, menunjukkan 39 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) mengakui mempunyai perasaan prejudis terhadap masyarakat Islam. Lebih satu daripada lima rakyat menyatakan mereka tidak mahu mempunyai jiran beragama Islam. Saya yakin, keadaan ini berpunca daripada sikap tidak ambil peduli.“Malah, kebanyakan masyarakat Barat mengakui secara terbuka akan hakikat ini. Tahun lalu, apabila ditanya mengenai pandangan dan kepercayaan penduduk yang tinggal di negara dengan majoritinya beragama Islam, 57 peratus rakyat AS menyatakan ‘tidak banyak’ atau ‘tidak tahu langsung’.“Dan ketika ditanya apa yang mereka kagumi terhadap dunia Islam, lebih separuh rakyat AS yang terbabit dalam kajian itu menyatakan ‘tiada langsung’ atau ‘tiada pendapat’. Bagi saya hasil kajian itu adalah sesuatu yang tragik, bukan saja kerana saya seorang Muslim, tetapi juga bagi seseorang yang berasa dirinya memperoleh manfaat daripada kepelbagaian dalam sesebuah masyarakat itu,” katanya.Turut hadir pada majlis Konvokesyen Khas itu ialah Pro-Canselor UM, Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan isteri, Tuanku Zara Salim serta Naib Canselor UM, Datuk Dr Rafiah Salim.Permaisuri Rania berkata, setiap negara, setiap budaya dan setiap tradisi mempunyai nilai yang boleh dipelajari, justeru lebih banyak seseorang itu mengambil tahu mengenai kehidupan orang lain, maka lebih banyak dimensi yang ditambah kepada kehidupannya.Pada ucapannya sejurus menerima ijazah Kehormat itu, baginda turut melahirkan hasrat agar Malaysia dapat menjadi penggerak utama ke arah ‘kedamaian’ berikutan pengalaman luas Malaysia dalam menyatukan rakyat berbilang kaum selepas merdeka.“Jelas sekali masyarakat Barat perlu melakukan lebih banyak lagi bagi mendekatkan jurang antara Barat dan Timur itu. Tetapi pada masa sama, saya berpendapat kita, masyarakat di Timur perlu melakukan perkara sama bagi menyatakan dengan jelas apa yang kita mahukan.“Dan saya berharap Malaysia akan menjadi penggerak utama dalam usaha ini - kerana apa yang anda lakukan (dalam menyatukan rakyat berbilang kaum) adalah satu contoh yang hebat bagi pelbagai tanggapan stereotaip yang negatif terhadap masyarakat Islam,” katanya.


Bagi Permaisuri Rania, kejayaan Malaysia dalam menongkah arus stereotaip berkenaan perlu dijadikan contoh terbaik kepada dunia, lebih-lebih lagi apabila ramai yang menganggap Islam tidak mempunyai kekuatan dalam ekonomi, Malaysia mampu membuktikan sebaliknya.Malah, katanya, pada kala masyarakat Barat melihat Islam sebagai agama yang menindas golongan Hawa, di negara ini wanitanya menikmati kehidupan yang hebat. Malah tatkala kebanyakan rakyat di negara Islam asyik bertelagah berebut kuasa, Malaysia pula berjaya melahirkan bangsa yang dapat hidup bersama secara aman.“Ramai yang menganggap Islam menindas wanita. Tetapi di Malaysia, wanita berjaya mengorak langkah dalam pelbagai sektor, sama ada dalam politik dan kerajaan῅daripada perniagaan hingga ke perbankan dan juga anda kini mempunyai wanita sebagai Naib Canselor (tersenyum sambil memandang Rafiah)“Dan ramai yang percaya masyarakat Islam tidak boleh bersatu, tetapi di sini kita lihat pelbagai budaya mampu hidup bersama ‘menjalin’ hubungan erat meskipun berbeza tradisi, cita rasa dan kepercayaan. Di sinilah tempatnya di mana anda meraikan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas bersama-sama. Misalnya, sebagai penuntut di UM, anda melihat lebih banyak budaya di kelas anda berbanding sesetengah masyarakat dalam hidup mereka,” katanya.


Aktif dalam pelbagai pertubuhan amal


Permaisuri Rania melihat antara langkah yang boleh dilakukan bagi merapatkan jurang antara Barat dan masyarakat Islam itu ialah menerusi generasi muda yang dilihat lebih terbuka dan mampu menerima perubahan. Tidak hairanlah, baginda banyak terbabit dalam pelbagai pertubuhan dan program membabitkan remaja serta kanak-kanak.Ini tidak menghairankan kerana baginda yang dilahirkan sebagai Rania Al Yassin berasal dari keluarga Palestin yang mementingkan pendidikan.Kesungguhannya untuk mendekati generasi muda turut dilihat melalui pendekatan modennya terhadap pelbagai perkara termasuk menunjukkan minat terhadap hiburan - sesuatu yang kita tidak boleh nafikan cukup dekat di hati golongan berkenaan.Malah, ini jelas dilihat ketika menyampaikan ucapannya pada konvokesyen khas itu, apabila Permaisuri Rania menyatakan beliau mungkin tidak boleh menyanyi sehebat Ayu (pemenang program reality One in A Million), tetapi sambutan hebat yang diterimanya di universiti tertua Malaysia itu membuatkan beliau berasa seperti ’satu dalam sejuta’.Mungkin ada yang tertanya-tanya apa perlunya baginda menyebut perbandingan berkenaan, apatah pula apabila Permaisuri Rania turut menyebut mengenai Akademi Fantasia dalam ucapannya. Namun, di sebalik melihat secara luaran bahawa dua program seumpama itu cukup popular di kalangan generasi muda bukan saja di Malaysia bahkan juga di seluruh dunia, mungkin apa yang hendak disampaikan baginda ialah dalam era yang mana maklumat boleh diterima tanpa sempadan, semua pihak perlu turut berubah seiring dengan perkembangan semasa.Baginda berkata, bukan saja pemikiran perlu berubah, bahkan masyarakat juga perlu bersedia menghadapi cabaran era globalisasi dan cara bagaimana kita menangani perkembangan itu ialah dengan mengawalnya.Projek terbaru baginda, siaran YouTube yang dilancarkan Mac lalu, dilihat antara kegiatan terkini beliau menghapuskan pandangan sterotaip masyarakat Barat terhadap Islam menerusi saluran yang cukup dekat di kalangan generasi muda.Latar belakangnya yang berpendidikan turut menyaksikan baginda meletakkan keutamaan kepada pendidikan bagi kanak-kanak. Bagi meningkatkan lagi tahap pendidikan di Jordan, Permaisuri Rania dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Jordan mewujudkan Anugerah Guru pada Oktober 2005 dengan harapan dapat mendorong guru di negara itu untuk berkhidmat dengan cemerlang.Tahun lalu, baginda menubuhkan muzium pertama bagi kanak-kanak di Amman bertujuan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan kanak-kanak dan keluarganya. Dekatnya generasi muda di hati permaisuri moden itu menyebabkan baginda tampil dengan program Madrasati (Sekolah Saya), satu inisiatif untuk membantu sekolah yang memerlukan bantuan kelengkapan. Fasa pertama inisiatif itu dilancarkan bulan lalu membabitkan pembinaan semula infrastruktur 500 sekolah di sekitar Jordan

===============================================================


INFO: Permaisuri Rania Al Abdullah


Dilahirkan di Kuwait dilahirkan pada 31 Ogos 1970.Baginda menamatkan persekolahan peringkat rendah dan menengah di Kuwait.Memperoleh Ijazah Sarjana Muda alam Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Amerika
di Kaherah pada 1991.Selepas tamat pengajian, baginda kembali ke Jordan dan menceburi bidang perbankan. Baginda kemudian bekerja dalam bidang teknologi Maklumat.Berkahwin dengan Raja Abdullah II (ketika itu Putera Abdullah) pada 1993 dan kini mempunyai empat cahaya mata.

No comments: