.::Pembuka Tirai::.

Tuesday, January 16, 2007

SN 101 - Pseduo Science Dalam Kajian Solat

Baru-baru ini suatu kajian telah dicadangkan untuk mengkaji kesan solat ke atas tubuh badan dan kesihatan individu muslim yang mengerjakannya. Ianya akan dilakukan oleh Jabatan Bioperubatan Universiti Malaya. Kajian tersebut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Daripada kajian awal, dikatakan bahawa pergerakan yang dilakukan di dalam solat itu dapat memberikan kesan bermanfaat ke atas jantung, tulang belakang dan keupayaan ingatan serta perhatian seseorang. Bahkan, apabila kajian itu siap, ia dikatakan mampu untuk menjadi kaedah berdakwah yang berkesan dalam mendidik umat Islam mengenai perlaksanaan tiang kedua rukun Islam ini. Datuk Seri Abdullah juga berharap agar kajian itu akan dapat mendedahkan kesan biologi dan perubatan di samping kesan-kesan kerohanian daripadanya [UM 13/12/06].

Berita seumpama ini bukanlah suatu yang baru atau suatu berita yang menggemparkan. Kita sering mendengar tentang kajian saintifik yang dilakukan ke atas orang yang berpuasa dan segala kebaikan yang diperolehi dari amalan tersebut. Para ulama dan cendekiawan kita juga tak pernah habis membincangkan tentang penemuan saintifik sejenis kuman atau virus yang terdapat pada babi. Begitulah perbincangan demi perbincangan dilakukan ke atas beberapa amalan ibadat tertentu untuk digali segala kebaikan saintifik darinya untuk dibuat kesimpulan seperti, "Lihat! Inilah kebaikan-kebaikan yang ada di dalam ibadat ini dan itu, sebab itulah Allah memerintahkannya. " atau kesimpulan lain seperti, "Inilah hikmah kenapa Allah mewajibkan atau mengharamkan perkara ini". Sautun Nahdhah kali ini akan mengajak pembaca untuk menilai kembali akan kebenaran pernyataan-pernyata an di atas agar kita tidak terjerumus melakukan perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

BARAT DAN KAEDAH SAINTIFIK

Sejak kekalahan di dalam Perang Salib, orang-orang Barat mula melancarkan serangan-serangan pemikiran terhadap Islam. Serangan ini dilancarkan dengan agak kencang setelah Eropah melalui zaman pencerahan (Rennaisance) . Barat mula menyerang aqidah umat Islam dan juga hukum syara' dengan membangkitkan segala isu yang boleh menimbulkan keraguan pada kaum Muslimin. Mereka menyerang Islam dengan mengatakan Islam itu berkembang dengan mata pedang. Mereka mengatakan jihad adalah satu perbuatan yang kejam, ganas, brutal dan sebagainya. Barat menyerang poligami dengan mengatakan tindakan ini adalah satu bentuk penghinaan ke atas wanita dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Mereka juga menyerang kaum Muslimin yang kuat berpegang pada Islam dengan menyatakan bahawa golongan ini adalah fundamentalis dan ekstrem. Siapa sahaja yang berpegang kepada agama dianggap fanatik dan golongan yang merbahaya. Barat juga menyerang Sistem Khilafah dengan mengatakan bahawa ini adalah suatu kezaliman kerana kuasa hanya dipegang oleh seorang pemimpin. Maka Khalifah digambarkan sebagai seburuk-buruk pemimpin yang diktator, gila kuasa, kaki perempuan dan bermacam-macam lagi.

Serangan-serangan sebegini menyebabkan umat Islam merasa mereka perlu 'membela diri'. Perasaan inilah yang telah menyebabkan umat Islam terperangkap di dalam jerat Barat. Oleh itu, mereka mula menjawab segala tuduhan, seolah-olah mereka berada di pihak yang salah dengan agama yang salah. Umat Islam lalu menyatakan bahawa mereka bukanlah golongan yang fanatik kepada agama, bukan golongan yang suka berperang dan peperangan bukanlah suatu tuntutan agama. Mereka menjawab bahawa "Jihad itu adalah sebagai tindakan mempertahankan diri, poligami itu hanya dibenarkan jika memenuhi syarat-syarat yang ketat, otoriti pemerintahan Islam bukanlah dari Khalifah, tetapi Islam mengambil pendapat majoriti (Demokrasi) di dalam sistem pemerintahan. " Pelbagai lagi jawapan yang diberikan yang timbul dari perasaan bersalah. Inilah sebahagian daripada bentuk jawapan-jawapan yang dikatakan bersifat apologetik (membela diri kerana bersalah).

Sebenarnya inilah method yang digunakan oleh cendekiawan Barat semasa mereka menyerang dogma-dogma gereja di dalam perjuangan mereka untuk memisahkan agama/gereja dari kehidupan. Apologetic merujuk kepada sikap dan cara para paderi Kristian berhujah ketika berhadapan dengan golongan intelektual mereka yang terdiri daripada ahli-ahli falsafah rasionalis menjelang zaman kebangkitan Eropah (Zaman Renaissance) . Mereka betul-betul menyerang gereja dengan meletakkan segala kesalahan, kelemahan dan kemunduran sebagai berpunca dari gereja. Gereja waktu itu amat sceptical (mempersoalkan/ curiga) terhadap sains, ditambah dengan sikap paderi yang tidak faham dan memusuhi sains, lalu masyarakat mula mempertikaikan ajaran gereja. Dengan kemunculan sekumpulan cerdik pandai dan bukti-bukti saintifik yang mereka temui pada waktu itu serta serangan pemikiran yang berterusan ke atas pihak gereja, lalu mereka berjaya meruntuhkan institusi gereja sebagai sebuah pemerintahan.

APA YANG TAK KENA?

Jika dulu umat Islam tenggelam di dalam perbincangan falsafah, kerana telah terpengaruh dengan kaedah berfikir Yunani, sekarang, kehidupan banyak dipengaruhi oleh kemajuan sains dan teknologi. Maka kaedah saintifik telah dijadikan asas berfikir dan mula menjadi popular di dalam membahaskan banyak perkara. Cukup menyedihkan, cakupan perbahasan telah merambah ke dalam hukum syara'. Persoalannya di sini adalah, adakah Islam memerintahkan hukum syara' dikaji atau dibenarkan secara saintifik untuk membongkar persoalan di sebalik perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta'ala, walaupun sekadar mencari kepentingannya kepada manusia sejagat?

Tidak berapa lama dulu seorang Professor di dalam bidang Fizik di Amerika Syarikat menyatakan bahawa, berdasarkan Teori Fizik, terdapat pertukaran di antara cas-cas yang wujud di antara individu jemaah di dalam saf solat. Pertukaran ini berpunca daripada ketidakseimbangan jumlah cas di dalam tubuh seseorang setelah menjalankan aktiviti seharian. Ia dikatakan menyebabkan seseorang itu merasa letih dan lesu. Dengan melakukan sembahyang berjemaah sambil merapatkan bahu, cas-cas pada para jemaah akan dapat bergerak dan saling bertukar, seterusnya dapat mengimbangi semula jumlah cas di kalangan mereka yang berada di dalam saf. Keseimbangan cas ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi `segar' semula. Sebagai seorang Islam, secara emosinya kita akan cenderung untuk membenarkan fakta ini dan merasa `bangga' dengan perkara-perkara sebegini. Kalau boleh ingin disampaikan kepada semua orang akan penemuan baru ini. Tetapi, tidak inginkah kita bertanya kepada diri kita dengan lebih lanjut tentang apakah alat yang digunakan untuk mengukur cas-cas tersebut, bagaimanakah eksperimen itu dilakukan? Kenapa pula ada di kalangan umat Islam yang sentiasa cergas, walaupun jarang atau tidak pernah berjemaah, malah orang kafir yang tidak pernah solat berjemaah pun ramai yang `segar'? Kenapa pula ada yang sering berjemaah tetapi selalu sakit atau tidak `segar'? Tidakkah kita terfikir bahawa orang yang berjemaah boleh menjadi semakin lemah, bukannya semakin segar kerana boleh dikatakan majoriti jemaah bersembahyang di dalam keadaan `letih' kerana kepenatan melakukan aktiviti harian, jadi yang saling bertukar antara para jemaah adalah adalah `cas-cas letih' sahaja. Tambah mendukacitakan, pak imam tentunya akan terus lesu dan lesu kerana beliau tidak berlaga bahu dengan sesiapa. Tidak ada cas yang dapat diseimbangkan di dalam tubuhnya.

Dahulu di jumpai cacing pita di dalam babi, kemudian dijumpai pula virus JE. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh. Di dalam perkembangan lain, dengan kepesatan kemajuan teknologi mikroskop dan ilmu perubatan moden, saintis telah dapat membuktikan bahawa daging babi mengandungi kuman dan virus yang berbahaya kepada manusia. Ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Dr Yoshihiro Kawaoka, dari Universiti Wisconsin. Di dalam penemuan yang diterbitkan di dalam salah satu jurnal perubatan pada tahun 1997, ia membuktikan bahawa pada kerongkong haiwan tersebut, ada sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman dan virus kepada bentuk yang berbahaya kepada manusia. Saintis-saintis menganggap babi sebagai mixing vessel atau 'tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya'. [The Detroit News, Scientists Discover the Infection Route Between Bird Virus and Pigs, Robert Cooke, Okt 20,1997]. Lalu, sebahagian daripada cendekiawan Islam membuat kesimpulan bahawa itulah jawapan kepada persoalan mengapa Allah Subhanahu wa Ta'ala mengharamkan babi.

Islam tidak menolak sains. Benar, kita pun tidak boleh menolak sains, tetapi persoalan di sini ialah, apakah kita perlu dan kita diperintahkan mencari jawapan saintifik untuk segala hal, atau ha-hal tertentu sahaja? Siapakah yang berhak menentukannya? Bagaimana pula hukum-hukum Islam yang lain yang banyak terdapat di dalam Al-Quran atau Hadis? Bagaimana pula penjelasan saintifik tentang hukum muamalat seperti jual-beli, sewa, hutang dan lain-lain? Bagaimana pula dengan hukum uqubat seperti bunuh, potong tangan, sebat dan lain-lain? Kenapakah tangan kanan yang dipotong, tidak kiri? Kenapa pula pergelangan tangan, tidak keseluruhan lengan? Apakah ada penjelasan saintifik kenapa zakat unta dan kambing/biri- biri diwajibkan, tetapi tidak ayam atau itik? Jika wudhu' dikatakan untuk mensucikan diri, kenapa pula Allah mewajibkan tayammum bila tidak ada air? Apakah perlu dicari penjelasan saintifik mengenainya? Jika babi dikatakan haram kerana penemuan saintifik membuktikan adanya virus yang merbahaya, adakah babi akan menjadi halal jika ada kaedah yang dapat menghapuskan virus-virus tersebut? Kenapa pula virus yang ada pada babi tidak membunuh atau menyebabkan orang-orang yang memakannya jatuh sakit? Apakah segala hukum Allah ini perlu dibongkar secara saintifik? Tidakkah kita terfikir bahawa dahulu, para imam mazhab dan ulama muktabar tidak pernah membincangkan tentang aspek saintifik dalam ibadat ini, namun Islam tetap maju dan jauh mendahului bangsa-bangsa lain dalam apa jua bidang. Jadi, persoalannya sekarang, perlukah kita mencari jawapan saintifik untuk masalah solat untuk kita menjadi maju?

Kedudukan Illat Dan Al-Hasan Wa Al-Qabih

Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa setiap hukum Allah itu pasti ada maslahat (kebaikan)nya. Tetapi di dalam masa yang sama kita tidak boleh menyatakan bahawa Allah mewajibkan sesuatu hukum itu berdasarkan maslahat. Kita juga boleh memperkatakan tentang `kebaikan' dari setiap hukum (mengikut ukuran manusia), tetapi kita tidak boleh menyatakan bahawa "hukum ini diwajibkan kerana ini" atau kita membuat kesimpulan sendiri seperti "inilah sebabnya Allah mewajibkan hukum ini" atau "maka terjawablah persoalan kenapa Allah mengharamkan ini" atau ucapan-ucapan seumpamanya. Persoalan-persoalan sebegini di dalam ilmu usul fiqh adalah termasuk di bawah perbincangan tentang illat. Illat adalah suatu yang kerana (keberadaan) nya, adanya hukum. Dengan kata lain, illat adalah perkara yang memunculkan hukum, yakni tasyri' (pensyari'atan suatu hukum). Jadi hukum itu disyari'atkan kerana adanya illat. Illat adalah dalil, tanda dan yang memberitahu (adanya) hukum. Illatlah yang membangkitkan hukum. Ia haruslah dibezakan dengan sabab dan hikmah, yang memiliki pengertiannya masing-masing. [Syeikh Atha' Bin Khalil, Taisir al-wusul ila al-usul]

Hukum-hukum syara' yang berkaitan dengan ibadah, akhlaq, makanan dan pakaian tidak boleh dikaitkan dengan illat secara mutlak. Sebab hukum-hukum sebegini tidak mengandung illat. Hukum seperti ini diambil sesuai dengan apa yang terdapat dalam nash sahaja, tanpa dikaitkan sama sekali dengan illat, seperti halnya solat, puasa, haji, zakat, tatacara mengerjakan solat, bilangan raka'at solat, manasik haji, nisab-nisab zakat dan yang sejenisnya, diambil secara tauqifi (sebagaimana adanya), dan diterima dengan penuh pasrah tanpa melihat segi illatnya. Bahkan, tidak boleh mencari-cari illatnya. Begitu pula pengharaman memakan bangkai, daging babi, dan yang sejenisnya, sekali-kali tidak dicari-cari illatnya. Bahkan termasuk suatu kesalahan yang cukup berbahaya, apabila mencari illat bagi hukum-hukum tadi. Sebab, apabila ada usaha untuk mencari illat bagi suatu hukum terhadap perkara-perkara tersebut akan membawa kepada konsekuensi bahawa apabila hilang illatnya, hukumnyapun akan hilang, sebab kaedah syara' menyatakan'
("illat itu senantiasa mengikuti ma'lulnya, ada atau tidaknya.")

Seandainya illat wudlu itu kebersihan, illat solat adalah senaman atau kesihatan, illat puasa itu kesihatan dan seterusnya, maka tentu hal ini akan mengakibatkan bahawa disaat tidak didapati illatnya maka tidak akan didapati hukumnya. Kerana itu, mencari-cari illat dalam masalah ini akan membahayakan eksistensi hukum dan pelaksanaannya. Maka hukum-hukum ibadat wajib diterima sebagaimana adanya tanpa mencari-cari illatnya. [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Mafahim Hizbut Tahrir].

Sikap untuk menjadikan sains sebagai tolok ukur untuk mengatakan bahawa perbuatan solat baik dari segi aspek sains memberikan kesan bermanfaat ke atas jantung, tulang belakang dan keupayaan ingatan serta perhatian seseorang adalah bertolak dari pemahaman yang salah tentang mensifati sesuatu ibadah. Sebenarnya tindakan untuk merasionalkan ajaran Islam ini telah berlaku sejak lama dulu. Perbincangan tentang perkara ini telah menjadi satu maudhuk (subjek) yang tersendiri semasa berlaku pertembungan pemikiran Islam dan pemikiran falsafah. Contohnya di dalam perbincangan al-hassan wa al-qabih (terpuji dan tercela), golongan Muktazilah cuba merasionalkan setiap hukum-hakam Islam yang ada pada masa itu dengan akal, dengan menggunakan ilmu logik (mantik) iaitu ilmu yang dominan pada masa itu. Seiring dengan peredaran zaman, Kaedah Empirik kemudiannya telah menjadi satu cabang ilmu sains yang sangat dominan di persada intelektual. Hasilnya, umat Islam sekali lagi cuba merasionalkan hukum-hakam Islam, dengan tolok ukur baru, yakni ilmu sains empirik. Tujuannya tetap sama iaitu untuk merasionalkan hukum ibadah, cuma tekniknya yang berbeza.

Jika kita kaji secara teliti, ada 4 sumber utama yang dijadikan hujah oleh manusia untuk menentukan samada perbuatan itu terpuji atau tercela, (i) Aqal semata-mata, (ii) Syara' yang dijustifikasi dengan aqal (iii) Aqal yang dijustifikasi dengan syara' (iv) Syara' semata-mata.

Golongan Islam Liberal yang menganut pemikiran bebas sering menjadikan aqal sebagai satu sandaran untuk membebaskan diri dari nas-nas syara', seperti menyerang idea pembahagian harta warisan mengikut syara', mengharamkan poligami, menafikan hukum hudud dan sebagainya. Mereka menggunakan aqal mereka untuk memansukhkan hukum syara'. Mereka mendakwa bahawa hukum-hakam syara' hanya sesuai dengan zaman tersebut sahaja. Mereka menjadikan aqal semata-mata untuk menilai buruk dan baiknya sesuatu perbuatan tersebut.

Akibat perkembangan sains dan teknologi, umat Islam melihat bahawa mereka perlu menyesuaikan hukum-hakam Islam dengan sains. Mereka merasa perlu untuk membincangkan kenapa daging babi diharamkan dari segi kesihatan dan saintifik. Mereka juga `ghairah' dengan penemuan baru bahawa sujud dalam solat akan menyebabkan darah mengalir dengan baik, dapat membekalkan oksigen ke bahagian saraf dalam otak yang tidak mendapat oksigen. Walhal mereka sendiri gagal menunjukkan kajian saintifik yang sah, gagal menerangkan bahagian otak yang mana, tetapi yang ada hanyalah sebuah hipotesis yang gagal dibuktikan oleh kaedah saintifik itu sendiri. Golongan ini sebenarnya adalah golongan yang meletakkan aqal di atas hukum Allah, menjadikan hukum Allah itu perlu disokong oleh aqal.

Sedangkan aliran pemikiran yang ketiga adalah golongan yang menjadikan aqal sebagai penentu baik dan buruk, kemudian mereka menjadikan nas syara' sebagai hujah dari aqal mereka ini. Contoh yang dapat kita lihat adalah golongan yang melihat bahawa poligami adalah tidak baik dari segi akal mereka, lantas mereka mencari-cari dalil untuk menyesuaikan dengan kehendak aqal dan hawa mereka. Sebagaimana Sisters In Islam (SIS) pernah menggunakan Hadis Riwayat Ibn Majah yang merupakan teguran Rasulullah saw terhadap Ali karamallahuwajhu, semasa ingin memadukan Fatimah (ra), sebagai hujah Rasulullah tidak menggalakkan poligami. Pendapat ini lahir semata-mata kerana mereka menilai poligami berasaskan pemikiran Barat. Mereka kemudian mencari-cari nas untuk membenarkan pendapat mereka walhal penafsiran mereka sebenarnya jauh menyimpang dari kebenaran. Inilah golongan yang menjadikan hukum syara' sebagai pendokong hujah aqal mereka.

Untuk meluruskan pandangan seperti ini, perlu dijelaskan bahawa suatu perbuatan itu tidak boleh dipandang baik dan buruk menurut apa yang kita benci ataupun suka, mendatangkan manfaat kepada kita ataupun mudharat. Tolok ukur baik atau buruk hendaklah dikembalikan kepada syara' sahaja, iaitu kepada Pembuat Hukum itu semata-mata, yakni Allah swt. Hanya dengan ini, barulah kita akan kembali kepada kebenaran. Dalam aspek hukum syara', aqal mestilah digunakan untuk memahami perintah Allah, bukannya alat untuk menghakimi perintah Allah.

KHATIMAH

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengajak kalian merenungi kata-kata Maryam Jameelah (seorang Yahudi yang telah memeluk Islam) di dalam surat yang dikirim beliau kepada ibubapanya, "Ayah, anda telah mengulangi beberapa kali bahawa anda tidak boleh menerima mana-mana agama tradisi kerana anda yakin bahawa teologi bertentangan dengan sains moden. Sains dan teknologi sebenarnya telah memberi banyak maklumat kepada kita tentang alam nyata, menyediakan kesenangan dan keselesaan yang tidak pernah ditemui sebelum ini, meningkatkan kecekapan dan menemukan ubat-ubatan bagi banyak jenis penyakit yang biasanya boleh membawa maut. Namun, sains tidak pernah dan tidak akan pernah dapat mengajar kita tentang makna (hakikat) kehidupan dan kematian. Sains memberitahu kita `bagaimana' tetapi tidak pernah dapat menjawab persoalan `kenapa'. Pernahkah sains mampu memberitahu kita apa yang betul dan apa yang salah? Apakah yang dikatakan baik (khair) dan apakah yang dikatakan buruk (syar)? Apakah yang terpuji (hasan) dan apakah yang tercela (qabih)? Kepada siapakah kita bertanggungjawab dengan apa yang kita buat? Hanya agamalah yang dapat mengajar semua ini." [http://www. geocities. com/embracing_ islam/mjletter. htm]

Itulah kefahaman bekas pengikut Zionis yang telah memeluk Islam, tentang sains dan agama. Beliau telah membuat perbezaan yang jelas dengan bahasa yang padat dan tepat untuk menggambarkan bahawa sains langsung tidak bernilai dipandang dari aspek keperluan manusia kepada agama. Contohnya, sains boleh menerangkan `bagaimana' manusia dijadikan, tetapi sains tidak akan dapat menjawab persoalan `kenapa' manusia dijadikan. Sains juga dapat menerangkan `bagaimana' solat boleh menyihatkan badan tetapi sains tidak akan dapat menjawab `kenapa' manusia solat. Memandangkan Allahlah yang menjadikan manusia dan Allahlah yang mewajibkan solat, maka hanya Allah sahajalah yang dapat menjawab persoalan `kenapa' Dia berbuat demikian.

Wahai kaum Muslimin! Islam adalah agama yang benar dan setiap hukumnya adalah hukum yang benar. Semuanya berasal dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kita kaum Muslimin bukanlah pihak yang bersalah dan tidak perlu membela diri dengan pelbagai tuduhan. Kita tidak perlu terjebak dengan sikap apologetic seperti yang dialami oleh pendeta-pendeta gereja suatu ketika dahulu di mana mereka terpaksa mencari-cari bukti dan hujah tentang kebenaran gereja untuk menaikkan semula imej gereja yang sememangnya rosak.

Wahai kaum Muslimin! Apakah kita ingin disibukkan dengan kajian-kajian saintifik yang tidak ada perintah Allah ke atasnya? Apakah kita akan berbangga dengan pseudo sains ini, yang hanyalah merupakan sebuah hipotesis saintifik? Kenapakah kita tidak melakukan kajian tentang segala kekejaman dan kezaliman yang berlaku hasil tidak diterapkan hukum Allah di dalam kehidupan? Kenapakah kita tidak menyibukkan diri dengan usaha-usaha untuk menegakkan hukum Allah, tetapi sanggup menyibukkan diri dengan melakukan kajian yang tidak dituntut oleh syara'. Sesungguhnya penemuan-penemuan saintifik berkenaan kesan solat ke atas kesihatan tubuh badan tidak akan menjadikan manusia itu lebih mulia di sisi Allah, kerana yang dituntut oleh Islam adalah mendirikan solat itu sendiri, bukan mengkaji kesannya. Juga, yang dituntut oleh Islam adalah terlaksananya sistem uqubat bagi menghukum orang-orang yang meninggalkan solat. Inilah kewajipan bagi seluruh kaum Muslimin, yakni mendirikan sebuah Daulah Khilafah Islamiyyah yang bukan sahaja akan menghukum orang-orang yang meninggalkan solat, malah yang akan menegakkan keseluruhan hukum-hukum agama ini. Apa guna kita berusaha bersungguh-sungguh mengkaji suatu perkara yang Allah tidak perintahkan, sedangkan dalam masa yang sama kita meninggalkan banyak kewajipan yang lain.
Wallahua'lam

Epilog Hukuman Mati Saddam Hussein

Lebih kurang dua minggu lepas, kita menyaksikan episod akhir dari salah satu babak permainan Amerika Syarikat (AS) ke atas mangsanya. Kita dipertontonkan dengan satu peristiwa yang berlaku di bumi Iraq di pagi `Idul Adha. Hingga ke hari ini, apa yang telah berlaku di subuh hari itu masih lagi hangat diperbincangkan. Ya, peristiwa yang dimaksudkan adalah hukuman gantung ke atas bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein. Banyak persoalan yang boleh dikupas berkaitan dengan hukuman ke atas Saddam itu. Kepelikan prosiding kehakiman dan proses perlaksanaan hukuman yang nampak begitu tergesa-gesa telah menimbulkan banyak tanda-tanya dan syak wasangka akan niat sebenar penggantungan Saddam. Meningkatnya kesedaran dunia akhir-akhir ini terhadap pembohongan Bush dan Blair untuk menghalalkan tindakan ketenteraan mereka ke atas Iraq telah menyebabkan teori-teori konspirasi yang dahulunya diperlekehkan kini semakin mendapat perhatian, hatta oleh mereka yang jahil sekalipun.

Saddam Hussein telah berjaya dihapuskan. Persoalan seterusnya ialah, siapakah yang akan dipermain-mainkan oleh Barat berikutnya. Yang pasti, mangsa yang paling enak ialah pemimpin umat Islam yang telah lama `dipelihara' nya dan sudah sampai masa untuk dijadikan korban. Sautun Nahdhah pada minggu ini ingin mengajak para pembaca untuk menilai peristiwa penggantungan Saddam Hussein ini agar kita semua sedar akan punca kepada semua ini dan kita dapat menyelamatkan pemimpin yang akan datang khasnya dan umat Islam amnya dari menjadi mangsa yang seterusnya.

Perbicaraan Saddam – Apa Yang Tak Kena?

Sekiranya kita teliti intipati-intipati perbincangan berkaitan dengan peristiwa ini, kita akan dapati bahawa antara topik pembahasan berkisar samada perbicaraan Saddam adalah adil atau tidak, adakah ia hanya sebuah sandiwara, adakah Saddam akan dibalas setimpal dengan kekejamannya dahulu, apakah hukuman ke atas Saddam akan membawa kebaikan kepada Iraq selepas ini atau tidak. Pendek kata, perbahasan hanya tertumpu di sekitar status kesalahan Saddam dan status kesan hukuman ke atas Saddam. Walau apa pun yang diperkatakan, hukuman gantung di pagi `Idul Adha tersebut ternyata telah menjadi penamat kepada perbicaraan buat Saddam.

Kekejaman pemerintahan Saddam Hussein memanglah tidak dapat disangkal kecuali oleh mereka yang buta politik sahaja. Beribu umat Islam di Iraq telah menjadi mangsa pembunuhan kejam rejimnya. Bukan setakat Syiah yang amat dibencinya sahaja dibunuh, malah golongan Sunni pun turut dibunuh oleh Saddam dengan kejam. Semasa Saddam memerintah, peristiwa pembunuhan kejam ini tidak mendapat perhatian dunia, apatah lagi dunia Islam. Saddam sebaliknya digambarkan sebagai seorang hero dan banyak berjasa. Banyak negara menjalin hubungan diplomatik dengan bekas pemimpin Iraq ini. Istilah `diktator' sendiripun tidak dilekatkan kepada Saddam oleh media dunia. Ini mungkin kerana AS tidak menggelarnya sebagai diktator, maka dunia pun berbuat demikian, sebagaimana sekarang, apabila AS menggelarnya `bekas diktator', maka dunia pun turut memberikan label yang sama. Sama seperti sekarang di mana pemimpin penyembelih umat Islam seperti Islam Karimov (Uzbekistan) , Muammar Gadafi (Libya), Hosni Mubarak (Mesir), Perves Musyaraf (Pakistan) dan ramai lagi yang belum dicop oleh Barat sebagai `diktator', maka dunia pun tidak menganggap mereka sebagai diktator. Walhal, bagi yang mempunyai kesedaran politik, nama-nama di atas adalah manusia-manusia keji diktator talibarut AS dan merupakan pembunuh umat Islam yang sudah tidak asing lagi. Mereka adalah golongan yang bersekongkol dengan AS di dalam menangkap, memenjarakan, menyiksa dan membunuh umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.

Begitu juga dengan kekejaman dan kediktatoran Saddam Hussein yang sebenarnya tidak dapat dipisahkan dengan AS. Di dalam perbicaraan yang berlangsung ke atas Saddam dan orang-orangnya, ia bertumpu di sekitar peranan mereka dalam pembunuhan orang-orang yang tidak bersalah, seolah-olah Saddam Hussein tidak pernah melakukan kesalahan lain. Di sepanjang pemerintahannya, Saddam telah melakukan pembunuhan massal ke atas musuh politiknya, namun begitu tidak ada pertuduhan yang dikemukakan menyentuh persoalan senjata yang telah digunakan bagi pembunuhan besar-besaran ini dan dari mana atau bagaimana senjata-senjata tersebut telah diperolehi oleh Saddam.

Perbicaraan terhadap Saddam juga telah terlepas pandang akan hubungan erat beliau dengan kerajaan-kerajaan dan syarikat-syarikat Barat di sepanjang pemerintahan ganasnya. Perbicaraan yang berlaku gagal memeriksa pembelian senjata yang telah digunakan oleh Saddam untuk membunuh rakyatnya daripada syarikat-syarikat Barat, sokongan yang telah diberikan Barat terhadapnya dalam perang dengan Iran pada 1980-an, perjumpaan-perjumpa an dengan orang-orang kenamaan Barat serta persahabatan erat antara rejim Saddam dan Donald Rumsfeld serta pentadbiran Amerika yang berlanjutan walaupun selepas peristiwa pembunuhan di Halabjah pada tahun 1988.

Tiadanya pertuduhan dan pembongkaran peranan Barat dalam `mengasuh dan bekerjasama' dengan Saddam adalah satu penghinaan dan ketidakadilan buat mangsa-mangsa di Dujail, Halabjah dan di seluruh Iraq serta pengkhianatan buat masyarakat dunia secara amnya. Ini kerana, Barat sentiasa mencanangkan bahawa hukuman terhadap Saddam adalah satu keadilan yang mahu diberikan Barat buat rakyat Iraq walhal realitinya merekalah yang telah bersekongkol dengan Saddam sewaktu kekejaman-kekejaman tersebut dilakukan. Perbicaraan dan hukuman yang telah dijatuhkan hanyalah satu permainan yang digunakan oleh Barat untuk menutup semua rekod hitam hubungan mereka dengan Saddam di masa lampau.

Umat Islam patut merasa lebih terhina lagi kerana Bush dan Blair, yang bertanggungjawab terhadap kematian lebih 650,000 rakyat awam yang tidak berdosa di Iraq sepanjang serangan dan penaklukan mereka di tanah bekas pusat pemerintahan Khilafah Abbasiyah itu, terus bebas tanpa dihadapkan ke muka pengadilan biarpun telah terang lagi nyata bahawa mereka telah berbohong menceroboh Iraq menggunakan alasan `Weapon of Mass Destruction'


Keadilan Demokrasi -vs- Keadilan Islam

Setelah gagal membuktikan wujudnya WMD, AS cuba mengalihkan perhatian dunia bahawa mereka memasuki Iraq bagi menghapuskan pemerintahan diktator Saddam Hussein. Perbicaraan ke atas bekas Presiden Iraq ini dibuat atas nama keadilan. Kononnya untuk keadilan ke atas rakyat Iraq yang selama ini dizalimi dan ditindas oleh seorang diktator. Seterusnya, bagi membuktikan `niat baiknya' itu, AS menunjukkan kepada dunia bahawa mereka akan memastikan wujudnya sebuah Sistem Demokrasi bagi menjamin keadilan di Iraq. Maka, atas kesungguhan ingin melaksanakan Sistem Demokrasi inilah AS dapat mencapai cita-citanya dengan terus kekal berada di Iraq dan pada masa yang sama, dapat melantik bonekanya, yang akan memerintah dengan Sistem Demokrasi yang dilaungkannya. AS telah lama `berjuang' menegakkan Demokrasi di bumi umat Islam kerana mereka tahu bahawa perjuangan ini (menegakkan Demokrasi) adalah perjuangan yang mendapat tempat di hati sebahagian besar pejuang Islam itu sendiri. Selalunya Barat akan berakhir dengan kejayaan, kemudian kejayaan ini dikongsi dan ditepuk tangan oleh umat Islam kerana dihadiahkan dengan sebuah Demokrasi. Inilah apa yang telah berlaku di Afghanistan dan sekarang drama yang sama dapat dilihat di Iraq.

Umat Islam merasakan bahawa mereka akan mendapat sebuah keadilan apabila Sistem Demokrasi yang memerintah. Ini kerana segala undang-undang diputuskan secara majoriti dan keputusan ditentukan oleh rakyat, bukannya oleh seorang diktator. Sebab itulah, setengah pihak amat berpuas hati apabila diktator seperti Saddam Hussein berjaya diheret ke Mahkamah, yang mana ini tidak akan berlaku di dalam sebuah pemerintahan yang berkuku besi. Sekali fikir, kejadian ini nampak baik, tetapi sebagai umat Islam, kita wajib berfkir dan bertanya, adakah Mahkamah yang membicarakan Saddam itu adalah Mahkamah Madzalim (Mahkamah Islam yang membicarakan persengketaan antara pemerintah dan rakyat)? Adakah Saddam dibicarakan di bawah Undang-Undang Islam atau undang-undang kufur? Jika dia dihukum bunuh, adakah dia dihukum berdasarkan Qisas

Kita juga perlu bertanya, apakah kita akan berpuas hati jika Saddam dihukum gantung bukan pada hari `Idul Adha? Atau adakah kita akan berpuas hati dan merasakan keadilan telah dicapai jika Saddam dibicarakan oleh International Criminal Court (ICC) atau International Court of Justice (ICJ) di bawah tajaan PBB? Umat Islam melakukan kesilapan besar jika mengatakan `ya' pada persoalan di atas, kerana jelas kedua-duanya berada di bawah organisasi kufur dan akan menjalankan perbicaraan mengikut undang-undang kufur antarabangsa. Apa yang wajib difahami oleh umat Islam adalah tidak akan ada keadilan pada undang-undang kufur ciptaan manusia walau ia dibuat oleh suara majoriti sekalipun. Keadilan yang sebenar hanya akan dapat dicapai apabila kita berhukum dengan hukum Allah, walaupun majoriti manusia tidak bersetuju. Hukum Allah bukan tunduk kepada keputusan majoriti!!! Na'uzubillah min zalik

Apakah kita akan mengatakan bahawa hukuman denda maksima RM5,000 kepada penzina adalah undang-undang Islam yang adil kerana diluluskan oleh majoriti manusia di Parlimen? Apakah hukuman penjara 7 tahun, atau jika diberatkan kepada 30 tahun sekalipun ke atas pencuri itu akan membawa keadilan, kerana telah dipersetujui oleh majoriti di Parlimen, walhal ini jelas-jelas bertentangan dengan hukum Allah? Apakah kita juga akan turut mengatakan bahawa syarat-syarat poligami yang ketat yang dikenakan oleh Mahkamah adalah adil kerana telah diluluskan oleh majoriti manusia di Dewan Undangan Negeri, walhal syarat-syarat tersebut tidak ada di dalam Kitab Allah dan Sunnah RasulNya? Apakah kita akan mengagungkan pendapat aqal kita dari hukum yang telah Allah tetapkan? Inilah natijah dari Sistem Demokrasi yang diambil oleh umat Islam. Hak untuk membuat hukum berada di tangan manusia dan hukum Allah hanya diimani dari segi wujudnya, bukan dari segi perlaksanaannya.

Inilah yang membinasakan dan menghinakan umat Islam. Mereka mencari keadilan dari Demokrasi, bukannya dari hukum Allah. Mereka terperangkap di dalam laungan dan agenda Demokrasi yang dibawa oleh Barat di mana mereka turut bermati-matian berjuang untuk meraih sebuah Demokrasi, yang kononnya akan membawa keadilan kerana segala pemerintahan dan undang-undangnya adalah dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Mereka lupa bahawa hukum Allah tidak tunduk kepada kehendak rakyat, tetapi rakyatlah yang wajib tunduk patuh kepada hukum Allah. Mereka lalai bahawa jika mereka berjaya sekalipun dengan perjuangan Demokrasi, AS pasti tidak akan melepaskan mereka, sebaliknya AS akan pastikan bahawa Demokrasi yang diamalkan adalah sesuai dengan agenda dan kehendak mereka (Barat). Sedarlah wahai kaum Muslimin!

Sesetengah pemimpin merasakan bahawa mereka mulia dan selamat bilamana berada di bawah ketiak Amerika, walhal pada hakikatnya mereka berada di dalam keadaan hina dan musuh Allah ini tidak pernah menjamin keselamatan mereka. AS hanyalah sebuah negara Kapitalis yang hanya akan mementingkan diri sendiri dan akan menghapuskan siapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka atau sudah tidak berguna kepada mereka. Lihat sahajalah nasib Saddam Hussein yang dahulunya ditatang bagai minyak yang penuh oleh British, kemudiannya Amerika dan kini, apabila dia tidak lagi berguna kepada kepentingan Barat, menjadi korban di subuh `Idul Adha. Ingatlah wahai kaum Muslimin, kemuliaan itu hanyalah milik Allah dan hanya kepadaNya kita wajib mencari perlindungan, bukan kepada selainNya, apatah lagi musuhNya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

"Apakah mereka mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya segala kemuliaan itu adalah kepunyaan Allah" [TMQ an-Nisa' (4):139]

"(iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: `Sesungguhnya manusia (yakni Quraish) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka', maka perkataan itu menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab: `Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung" [TMQ Ali Imran (3):173]


Percaturan Politik Barat Di Timur Tengah

Sebagai sebuah negara pengamal Ideologi Kapitalis, negara-negara Barat kolonialis seperti Britain, Amerika Syarikat atau Perancis tidak pernah menghentikan strategi kolonialisasi mereka yang berobjektif meraih kepentingan politik dan ekonomi masing-masing. Justeru, penjajahan adalah suatu yang perlu dilakukan oleh mereka dalam mencapai cita-cita untuk mendapatkan sebanyak mungkin manfaat, sesuai dengan Ideologi yang mereka anuti. Bagi negara penganut Ideologi kotor ini, konsep halal dan haram tidak ada di dalam kamus hidup mereka, begitu juga dengan dosa dan pahala. Jika mereka perlu berbunuh-bunuhan untuk mencapai manfaat, maka mereka akan lakukan. Apatah lagi jika yang hendak dibunuh itu adalah umat Islam. Jadi tidak hairanlah apabila kita menyaksikan negara-negara kafir Barat ini berebut agar dapat menguasai negeri-negeri kaum Muslimin yang penuh dengan kekayaan alam. Mereka cukup sedar akan keuntungan yang bakal diperolehi dengan kejayaan mereka menguasai samada pemimpin kaum Muslimin mahupun negeri mereka secara langsung.

Sejak kejatuhan Khilafah Utsmaniah, kita melihat bahawa kuasa-kuasa Barat telah berebut-rebut untuk menguasai Timur Tengah kerana potensi yang cukup besar terdapat di sana. Antara kelebihan strategik bagi mereka yang dapat menguasai Timur Tengah adalah penguasaan ke atas Terusan Suez yang menjadi laluan penting bagi kapal-kapal dagangan antarabangsa. Kedua, kerana Timur Tengah adalah wilayah yang mempunyai simpanan minyak yang amat besar. Dalam perebutan ini, AS berjaya menjadikan Arab Saudi tunduk menyembah kepada mereka. Begitu juga dengan Mesir, Libya, Jordan dan beberapa negara yang lain. Amerika tidak lagi perlu risau tentang kesetiaan boneka-boneka ini. Iraq walau bagaimanapun, diperintah oleh Saddam Hussein yang terkenal dengan Parti Ba'ath berideologikan Sosialis, yang mana menjadi musuh kepada Ideologi Kapitalis yang dibawa oleh AS. Sebagai negara yang mempunyai simpanan minyak kedua terbesar dunia, tentunya Iraq tidak boleh dibiarkan begitu sahaja oleh AS.

Iraq menjadi rebutan apabila kuasa-kuasa kolonial ini mula menyedari bahawa bumi Iraq merupakan sumber minyak mentah utama dunia. Pada tahun 1998, kajian telah menunjukkan bahawa Iraq mempunyai kadar simpanan minyak yang mampu bertahan selama lebih kurang 142 tahun mengikut kadar pengeluaran sedia ada. Simpanan minyak Iraq pula adalah di paras kedua selepas Arab Saudi iaitu di paras 115 bilion tong. Pada masa yang sama, Amerika dan United Kingdom sedang berada dalam keadaan tertekan apabila simpanan minyak mereka masing-masing hanya mampu bertahan selama sekitar 7 dan 5 tahun sahaja. Oleh itu, Iraq tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Maka, bumi Iraq menjadi rebutan seterusnya dan saat ini kita sedang menyaksikan manifestasi dari kerakusan penganut Ideologi ini di sana.

Wahai kaum Muslimin! Tanah-tanah di Timur Tengah menjadi saksi terhadap segala kejahatan, kebiadaban dan pembunuhan Barat ke atas umat Islam. Langitnya pula menjadi saksi akan pengkhianatan pemimpin-pemimpin umat Islam yang bersekongkol dengan kejahatan dan pembunuhan yang berlaku. Anehnya, pemimpin umat Islam yang lain, walaupun bersaksikan mata kepala sendiri akan segala kedurjanaan Barat ke atas umat Islam, tetap memuja, menghormati dan menyanjung Barat. Mereka tetap duduk semeja, berjalan seiring, berjabat tangan sambil tersenyum dengan Bush dan Blair. Mereka tetap menjaga rapi kedutaan AS dan Britain di negara masing-masing, malah diperketat keselamatannya setiap masa. Mereka tetap akan menyambut Bush dengan sambutan dan penjagaan keselamatan yang amat luarbiasa jika Bush datang ke negara mereka, seperti apa yang kita lihat di Indonesia baru-baru ini. Tak mustahil, jika Bush datang ke Malaysia pun, sambutan yang sama, malah mungkin lebih hebat akan dilakukan, sebagaimana kedatangan Condoleeza Rice tidak lama dulu, yang disambut dengan permaidani merah. Sungguh aneh apabila menyaksikan pemimpin kaum Muslimin menjaga rapi akan musuh-musuh Allah ini.

Di sebalik segala kejahatan yang jelas dilakukan oleh Bush dan Blair dan juga kecaman serta kutukan oleh pemimpin Islam kepada pentadbiran Bush di dalam kes penggantungan Saddam Hussein, pada masa yang sama kita masih menyaksikan kata-kata Bush dipegang erat dan ditaati oleh pemimpin Islam. Kata-kata "Either you are with us or with the terrorist" dan slogan "war against terrorisme"


Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita semua setuju bahawa jika Saddam Hussein dibicarakan dan dihukum gantung di atas kekejaman yang dilakukannya, Bush dan Blair juga patut menerima hukuman yang sama. Dalam masa yang sama, kita seharusnya tidak lupa bahawa masih ramai pemimpin umat Islam yang bersekongkol dengan Barat di dalam memerangi kaum Muslimin. Kita juga seharusnya jangan lupa kejahatan dan kebrutalan pemimpin Israel dan tentera-tentera mereka. Semua ini memerlukan perbicaraan dan hukuman yang setimpal. Persoalannya, jika kita ingin mengheret Bush dan Blair ke muka pengadilan, siapakah yang sanggup berbuat dan akan berbuat demikian? Raja Abdullah, Hosni Mubarak, Musharaf, Muammar Gadafi atau Bambang Yudhoyono? Apakah kita mengharapkan pemimpin umat Islam hari ini yang akan berbuat demikian? Beranikah mereka? Apakah kita mengharapkan PBB yang akan melakukannya atau kita menaruh harapan dan yakin bahawa OIC-lah yang akan mengheret para penjenayah ini?

Wahai kaum Muslimin! Kita yakin bahawa satu-satunya `orang' yang akan membawa dan menghukum para pengganas dan penjenayah ini, tak lain tak bukan adalah Khalifah! Hanya Khalifahlah yang akan berbuat demikian. Khalifahlah yang akan menghukum mereka berdasarkan hukuman Allah, sebagaimana Rasulullah dan para Khalifah terdahulu yang menghukum semua musuh-musuh Allah dengan ketetapan dari Rabb mereka. Tanpa Khalifah, seruan untuk membawa Bush dan Blair ke muka pengadilan hanya tinggal seruan dan laungan, ibarat anjing menyalak bukit. Justeru, kami menyeru kepada mereka yang cintakan Allah dan RasulNya serta mahu melihat musuh-musuh Allah ini mendapat balasan mereka, agar bersama-sama berjuang untuk menegakkan Daulah Khilafah dan melantik seorang Khalifah yang akan menamatkan segala penderitaan yang telah lama ditanggung oleh kita semua.

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Saksikanlah bahawa musuh sebenar kalian adalah Barat dan pemimpin-pemimpin kalian yang menjadi boneka mereka. Bangkitlah, bersatulah dan berjuanglah untuk menghadapi musuh-musuh kalian ini. Ketepikanlah segala persengketaan sesama sendiri, fitnah-memfitnah, benci-membenci, hasad dengki dan segala iri hati yang ada. Sudah sampai masanya untuk kita bergabung melaksanakan kewajipan yang telah lama tergendala ini. Serulah kepada anak-anakmu, ibu-bapamu, saudara-saudaramu, sahabat handaimu serta penguasa-penguasa di kalangan kamu agar bersatu menegakkan Daulah Khilafah `ala minhaj nubuwwah. 1428 Hijrah yang akan menjelma dan Tahun Melawat Malaysia 2007 adalah peluang baik yang diberikan kepada umat Islam di Malaysia kerana pada tahun ini, kita berpeluang bertemu dengan saudara-saudara kita dari serata dunia yang datang untuk melawat ke negara ini. Gunakanlah kesempatan berharga ini untuk membuang segala dogma-dogma kuno yang telah memecah-belahkan kita. Berbincanglah dengan mereka yang datang, sampaikanlah dakwah penyatuan kepada mereka agar dengan usaha kita, idea penyatuan umat Islam seluruh dunia tidak lagi hanya menjadi teori yang sedap didengar tetapi menjadi satu kenyataan yang tidak dapat dimungkiri lagi. Insya Allah. ALLAHU AKBAR!